Bas Selangor

Selayang pandang, sergam setia bas merah hampir sepenuh warnanya berderam geram ingin dilepaskan. Itulah Bas Selangor yang akan membawaku pulang. Berderam lagi bas merah itu, isyarat untuk penumpang untuk mengaktifkan organ badannya yang berupa kerusi seolah-olah hanya boleh beroperasi jika ada punggung melabuh.

Lega hatiku kerja yang tertunggak habis jua tetapi esok mula episod baru pula. Terasa lega yang baru bertandang tadi beransur-ansur pergi. Aku lepaskan keluh yang berat bersama udara deraman enjin bas seolah-olah bas ini mengeluh bersamaku. Bunyi berderam kedengaran lagi tapi kini bukan dari bas merah tapi perutku. Wahai perut, sabar itu separuh dari iman. Titik noktah. Bunyi berderam.

Sekilas pandang, akulah bakal penapak pertama secara rasminya bas itu. Ah terasa bas itu berderam menjemput kedatanganku, bergegar resah kerusi menggoda untuk menerima punggukku. Aku memilih tempat duduk di belakang kerana nasihat teman sekerja, jikalau masuk perempuan, orang tua ataupun OKU kala tiada kekosongan tempat duduk, tidaklah rasa ringan terpaksa melepaskan pungguk. Berat penat badanku mengatasi keihklasan hatiku.

Perjalanan ini akan memakan masa 1 jam sekurang – kurangnya, aku pasti jika masa itu perut pasti kenyang sekenyangya membaham segala jam, minit dan saat. Aku membetulkan posisi duduk supaya lebih selesa sambil merebahkan pemandangan ke luar.

Ada sebuah kedai meletakkan televisyen berapa incinya aku tak tahu yang sedang menayangkan aksi World Wrestling Federation yang disaksikan oleh segelintir manusia yang ku kira – kira warga Indonesia dan Bangladesh. Kelakar, kegilaan sebuah hiburan sukan membantai sesama sendiri. Hah! Bukankah aku juga begitu suatu ketika dulu? The Rock paling aku minat!

Tapi itu dulu. Dulu-dulu dah habis.

Aku menyumbat lubang telinga dengan fon kepala, dan menekan butang simbol segitiga memuncung ke kanan di skrin telefon NOKIA X6 lalu ku hanyut ke dunia hayatan tanpa belas kasihan lalu aku pun lemas.  Lagu pertama mengiringi ku pulang adalah The Used – All That I’ve Got. Walau bagaimanapun, Tuhan telah menjodohkanku bersama irama lagu walau emosi hati sekocak tepung milo dengan air panas. Terasa diisi kekosongan hidup.

Setahu aku, memang sudah ada beberapa penumpang lain selepas perasmian aku tadi. Lalu aku menoleh, sudah penuh pun tempat duduk malah ada beberapa orang sedang berdiri. Malang! Semuanya perempuan tetapi tiada satu pun penumpang lain terutamanya lelaki yang mahu melepaskan pungguk yang parah diracun keselesaan.

Bagi diriku pula, sudah tentu tidak bersalah kerana tempat duduk aku sebangku sebelum barisan di hujung malah di sebelahku ini seorang warga Afrika. Mahu dihulur, nescaya duduk tak mahu. Lagu pertama tadi telah lama berlalu, terasa rindu pula lalu aku putarkan kembali lagu hanya dengan menyentuh lembut manja paparan skrin.

Aku menoleh pandang ke luar tingkap yang kelihatan dihimpit sebuah bas unggul Rapid KL yang sudah mula operasikan pelan bayar tambang bas menggunakan kad Touch n Go. Canggih! Tapi Bas Selangor sentiasa ada tika aku mau pulang tak seperti Rapid KL yang jual mahal. Pastinya aku memilih Bas Selangor, teman setiaku sepanjang jalan.

“Hello kawan! Kita jangan buat susah ah, bas ini tidak akan lalu Chow Kit. Jika ada mau turun Chow Kit, ini bas takkan turun sana.”

Itulah ucapan pembukaan penolong pemandu bas yang juga merangkap pengutip tambang bas. Kelakar bukan, terasa sejuk bila kawan dikait antara penumpang dan pengendali bas. Itulah namanya Marketing Strategy. Kebanyakan mereka hanya akan mengherdik dan menghalau keluar penumpang semata-mata hendak menggunakan jalan pintas untuk elak terperangkap kesesakan lalu lintas. Tidak mahu susah kawan? Keluarlah sebelum anda dihujani air liur caci penolong pemandu bas.  Kerana ini Consumer Rights tiada maknanya di dunia bas. Andai terlepas stesen atau informasi, tiada maaf bagimu. Melentuk buah fikiran mencari-cari jalan pulang.

Sesak sungguh. Sampai di simpang terletaknya Hospital Tawakal, bas tiba-tiba mampat dengan manusia. Yang menghairankan, kenapa bukan lelaki? Satu per satu ahli kaum Hawa memasuki dan menghimpiti satu sama lain. Ada seorang lelaki yang terpaksa berhimpit bersama perempuan keliling pinggang. Pasti dia merasakan hari ini dialah Hang Tuah!

Namun, semua lelaki yang sedang duduk, tidak merasa sedikit kasihan untuk menghulurkan tempat duduk. Dan aku faham, keletihan membantai lesu fizikal badan dan duduk di kerusi dengan selesanya adalah umpama menolak hidangan sensasi Kentucky Fried Chicken untuk mereka yang lapar. Sanggupkah?

Aku masih di dalam dunia hayatan, dibuai lagu rancak M Nasir – Ada lalu jariku menari-nari memukul satu rima di atas pehaku kononya sedang membunyikan not-not lagu. Nampaknya bukan aku seorang yang sedang menikmati lagu ini, semua orang yang berdiri ikot menghayunkan badan mereka ke kiri dan kanan mengikut irama lagu tidak kira bangsa dan agama. Oh apakah ini namanya 1MALAYSIA?? Seolah-olah tercipta satu anjakan paradigma melalui lagu ini!

Tingkap di sebelah aku manayang laju imej kenderaan, apakah ini satu perlumbaan? Atau adakah ini kerna Rapid KL?

Apa yang aku tidak faham di sini adalah infeksi virus gila apabila Bas Selangor bertemu Bas Rapid KL. Pantang bertemu pasti adegan pecut-memecut berlaku namun Bas Rapid KL selalunya mengalah dan patuh sentiasa pada pantang larang lalu lintas. Bas Selangor sikapnya berlawanan, menentang sentiasa. Kadang-kadang pula, pantang larang jalan raya,  pandang pun tidak mahu.

Ada seorang mak cik yang memaut dua beg di kedua-dua bahunya. Kesian. Kala bas memecut laju, momentum tinggi melemahkan pegangan dan sokongan badan. Melantunlah anda jika tidak memegang kuat pada kerusi atau tiang. Mak cik ini, yang memaut beg di kedua-dua bahunya, manakah ada ruang untuk mencari sokongan sambil dikelilingi manusia di segenap penjuru badan?

Hadiah istimewa apakah yang direbut sehingga separuh mati Bas Selangor ini sebegini, aku pun tidak tahu. Dalam perlumbaan ini , mak cik itu tewas kepada keadaan. Terhuyung-hayang sambil mencari kekuatan untuk melawan arus yang tidak menentu yang datang menjenguk tanpa segan-silu.  Kesian. Letihku kian lama digoda pilu. Susuk wajah tua mak cik itu menghadirkan rasa bersalah di dalam hati ini. Walaupun kesedaran mutlak kesima cerah dalam minda yang aku juga bakal berhuyung hayang seperti mak cik itu seolah-olah bukan di dalam bas aku berada sekarang ini tapi sebenarnya disko! Hati aku akur pada satu titik yang beranjak besar dari kecil membentuk satu entiti bernama ikhlas.

Mak cik itu aku tawarkan tempat dudukku. Lenyap letih di mukanya jelas nampak. Bait syukur kelihatan di wajahnya dan sebari terima kasih dilantun kepadaku. Tapi yang sebenarnya aku tafsirkan adalah, “Selamat berjuang anakku! Kerana aku telah pun tewas!”

Pemandangan depan hanya dijajahi pemandu seorang, tiada sebab untuk penumpang melihat cermin depan kerana yang penting sekali, sampai destinasi! Jika dilihat pun, lupakan pontianak, hantu mahupun pembunuh bersiri kerana mungkin ini boleh menjadi rekod filem realiti bersejarah paling seram! Kerana, anda akan tertanya-tanya gaya pemanduan infeksi virus gila ini belum bertemu kecelakaankah??

Mungkin ini dikatakan gaya pemanduan semula jadi Michael Schumacher. Satu bakat yang jika ditangkap pemandu kereta biasa, kebarangkalian tinggi episod kemalangan jalan raya tidak jauh dari hari-harinya. Peliknya jika bakat ini dikuasai pemandu bas, kenderaan gergasi atas jalan raya, jauh sekali kemalangan jalan raya berlaku dengan senangnya kerana bukan semua mampu lawan kepada gagahnya kuasa buli bas ini yang hanya dimudi dengan teknik memusing stereng dan memijak pedal minyak. Secara total, ini mampu menjadikannya Raja Jalan Raya. Kesian. Alangkah bagusnya jika ini litar perlumbaan, mungkin telah diungguli piala-piala juara disusun megah di kabinet rumah menjadi kebanggaan diri untuk tatapan ramai. Ini, tentunya, hanya satu gurauan realiti. Pedih tapi benar.

Ini semua salah Rapid KL. Mungkin.

Setelah sekian lama menjadi pemberi khidmat kenderaan setia, Rapid KL kini muncul menjadi pesaing, secara tidak lansung hasil kutipan menjadi kurang. Dari satu sudut lain, apa salahnya berlumba mencuri penumpang dahulu? Dan dari sudut yang lain pula, jikalau pelanggan puas hati dengan perkhidmatannya, sudah tentu bila datang waktunya, bas itu juga yang dipilihnya, betul bukan?

Tiba di selekoh Jalan Sentul. Aku pandang sebentar ke arah bertentangan, terlihat K.L.P.A.C, teater pementasan segala persembahan; orkestra, drama dll. Sungguh aku rindu pada zaman masa dulu aku bebas datang untuk pertunjukkan sebegini. Kini, aku sudah bekerja, tidak sebebas dahulu. Terasa kemerdekaan 31 Ogos menjadi bermakna jika aku mendapat kembali kebebasan ini. Inilah juga satu jenaka hidup, gurauan realiti.

Bas berhenti, menghentikan semua aliran tenaga seketika dan membuang haba panas di sekeliling membantai halus bahang kepada mereka yang berdekatan. Masuk 2 – 3 penumpang lagi ke dalam perut bas lalu bunyi berderam menghembus lagi dan perjalanan pulang bersambung kembali. Merengek bas tika pemandu memotong laju kenderaan yang jelas lambat menikmati sisa masa yang ada dalam kesesakan jalan raya.

Potong. Rengek. Potong. Rengek.

Bas kini tampak tidak bermaya terpaksa menampung berat melampau sambil jalan tar ini diseret badannya oleh tenaga mikro manusia yang hanya mendominasi tubuhnya dengan kaki dan tangan. Hayat sebuah bas yang akan tamat jika gagahnya gagal merempuh cabaran ini. Satu penderaan tak mampu hilang dek dimakan masa. Untuk seketika, aku merasakan bas juga perlukan suara untuk menempah kuasa membela diri.

Masuk ke lorong Jalan Ipoh Batu 4, hatiku dibadai lega. Rumahku tak jauh lagi. Sebentar lagi akan sampai. Ada hikmahnya aku telah mengorbankan kerusi dudukku kerana di tengah himpitan manusia ini, tidak mungkin aku dapat keluar dengan selesa menyelit sana sini semata-mata untuk keluar dari bas. Kedudukan aku kini berdekatan dengan pintu keluar. Bukankah dulu pernah aku berdukacita kerana, tiada satu pun loceng elektronik yang berfungsi kala aku mencuba berkali-kali sehingga rumah aku pun berlalu. Terpaksalah aku berjalan jauh sedikit untuk sampai ke rumah. Sumpahan hatiku pada hari itu, menambah dosaku bertalu-talu. Itu aku pasti.

Sebelum sampai, Masjid Jamek Jalan Ipoh dan The Store menjadi titik penanda loceng harus ditekan. Doa agar loceng itu hidup sejahtera sesaat sebelum aku tekan tak putus-putus dibuat. Lampu merah. Aku padamkan niat sebentar untuk menekan loceng. Pada satu sudut kerusi, ada seorang pemuda sedang tidur nyenyak menampung sedikit kepalanya bersandar pada cermin yang walaupun keras namun mampu memberi keselesaan untuk tidur sebentar memberi sedikit keadilan untuk menurunkan kadar keletihan.

Lampu hijau. Aku menekan loceng. Jelas bunyi suara kambing pendek yang menjengkelkan. Cukup jengkel untuk tidak perasan. Sayup sayup kurang kedengaran enjin berdesing, menandakan perhentian. Debaran menanti rumah menggodaku, letih badanku terlupa pula. Beransur-ansur, aku menyelit sehingga aku betul berada di pintu keluar. Bas berhenti. Aku menuruni tangga dengan rakus sambil diperhatikan penumpang bas lain yang pastinya ada berunsurkan cemburu.

Selamat tinggal aku ucapkan. Esok kita bertemu kembali, Bas Selangor….

Source here

One thought on “Bas Selangor

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s